Thursday, October 9, 2008

PENDEDAHAN TERKINI: KPT GENTAR, PRK TIDAK DIADAKAN SERENTAK!

Apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengarahkan Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Dekan Hal Ehwal Pelajar (TTNC dan Dekan HEP) supaya mengadakan Pilihanraya Kampus (PRK) dua kali pada tarikh yang berbeza tentulah sukar untuk mereka menolaknya.
Pertama kali dalam sejarah IPTA, PRK tidak diadakan serentak. Tarikh pertama PRK tahun ini ialah pada 16 Oktober 2008 melibatkan IPTA di Pantai Timur sahaja (UMT,UMP, UMK dan UDM ). Manakala IPTA lain akan diadakan pada bulan Januari 2009.
Sudah tentu media, masyarakat dan mahasiswa sendiri akan tertanya-tanya mengapakah arahan ini dikeluarkan oleh KPT?
Ironinya, pertanyaan-pertanyaan seumpama inilah yang sangat dibimbangi KPT!
Satu perjumpaan sulit telah diadakan oleh KPT, dihadiri oleh Dato Idris Haron Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Prof Madya Dr Muhammad Hussin dari UKM, Prof Azali dari UPM dan sebahagian TTNC dan Dekan HEP bertempat di Rumah Melaka, Jalan Bellamy Kuala Lumpur bertarikh 6 Mei dan 16 Julai 2008.
Mereka menamakan diri sendiri sebagai ‘Sekretariat Kampus’ (‘nama underground’ kata Dato’ Idris) telah merancang pelbagai strategi terkini terutama dalam menyekat kebangkitan mahasiswa terutama yang tidak menyokong Barisan Nasional.
Jemputan mesyuarat sulit ini hanya dijemput melalui SMS. Tidaklah diketahui bagaimana TTNC dan Dekan HEP ini hendak membuat tuntutan perjalanan dan penginapan tanpa melalui kelulusan Naib Canselor dan tanpa surat jemputan rasmi.
Perjumpaan sulit ini hanya mampu diadakan dua kali berbanding tahun-tahun yang lalu yang berjumlah lapan ke sembilan kali. Sebenarnya perjumpaan jam 2 pagi ini mendapat tentangan dari sebahagian besar TTNC dan Dekan HEP kerana segala strategi KPT didalangi oleh Mat Hussin yang ‘comeback’ selepas Dato’ Mustapa Mohamed bertukar ke Kementerian Pertanian. Kelibat Mat Hussin sahaja mengundang rasa mual dan jelik TTNC dan Dekan HEP. Sejarah mereka diarah-arah seolah“diketuk ketampi” Mat Husin amat menyerikkan!
Di antara keputusan yang telah dipersetujui dalam perjumpaan sulit ini ialah mengadakan PRK tidak secara serentak seperti tahun-tahun sebelum ini.
Alasan utama KPT mengarahkan PRK diadakan secara berasingan ialah untuk mengelak dari PRK menjadi perhatian media, rakyat, parti pembangkang dan mengelakkan kebangkitan mahasiswa. Sepatah kata Dato’ Idris “Kalau boleh buatlah PRK secara senyap-senyap, jangan sampai diketahui sesiapa terutama media!” Apakah ini ‘standard’ pemikiran seorang Timbalan Menteri di negara kita?
Beberapa strategi-strategi lain untuk melumpuhkan kebangkitan mahasiswa telah disenarai panjang dengan begitu terancang sekali. Sukar hendak dipercayakan, kerana seperti kata Dr Siddiq Fadhil “Umpama seorang ayah merancang untuk mencacat anaknya sendiri!”
1. KPT mengarahkan istilah ‘Pilihanraya Kampus’ hendaklah ditukar kepada ‘Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar.’ Istilah ‘Pilihanraya’ bagi KPT adalah setanding dengan Pilihanraya Umum dan bakal membangkitkan kepimpinan dan semangat juang mahasiswa. Oleh itu kalimat ini wajar dihapuskan supaya mahasiswa tidak dapat merasa seperti suasana Pilihanraya di luar kampus. Cukuplah dengan kalimat pemilihan, sekadar merasa seperti memilih ketua kelas semasa sekolah rendah dan tadika sahaja.
2. KPT mengarahkan poster-poster calon hanya dikeluarkan oleh HEP sahaja. Calon dilarang mencetak poster sendiri. Kreativiti calon tidak perlu dan dilarang. Cukuplah menunggu poster bertaraf kertas A4 dari HEP. Adakah ini cara HEP membentuk kepimpinan dan kreativiti mahasiswa? Semua disediakan, mahasiswa dilayan seperti robot layaknya!
3. KPT mengarahkan perkataan ‘Mahasiswa’ itu sendiri hendaklah ditukar kepada ‘Pelajar’ sahaja. Perkataan mahasiswa itu sahaja bagi KPT boleh membangkit rasa ‘self esteem’ yang tinggi di kalangan mahasiswa. Oleh itu KPT mengarahkan semua universiti menggunakan nama ‘Majlis Perwakilan Pelajar’ bukan lagi ‘Majlis Perwakilan Mahasiswa.’ Mahasiswa dilarang menunjukkan ‘taring’ sebaliknya hendaklah siap sedia akur dan jangan melawan pentadbiran universiti dan kerajaan Barisan Nasional.
4. KPT telah dan akan mengeluarkan perbelanjaan yang besar kepada HEP untuk diadakan kursus calon dan jentera Aspirasi Kerajaan sebagai persiapan PRK. Sebaliknya calon bukan Aspirasi Kerajaan dianak tirikan dan tiada langsung bajet untuk kursus calon apatah lagi untuk jentera mereka. Jelas sekali mahasiswa telah diperbodohkan. Apakah permainan padang yang tidak sama rata ini adil dan ‘gentleman’?
Sebenarnya setiap tahun semenjak KPT ditubahkan lagi, bajet ini dikeluarkan kepada TTNC dan Dekan HEP dengan wang tunai berjumlah ribuan ringgit. Oleh itu jangan hairan kalau calon Aspirasi Kerajaan berupaya memenangi banyak kerusi PRK kerana dibelakang mereka adalah KPT itu sendiri yang diberselindung disebalik topeng munafik. Bagaikan yahudi yang menaja calon-calon presiden di Amareka Syarikat. Siapakah yang boleh memberi jaminan wang tunai yang berjumlah ribuan ini, tidak disalahgunakan oleh TTNC dan Dekan HEP? Saya cabar Canselor dan Naib Canselor menyiasat kenyataan ini.
5. KPT mengarahkan HEP supaya calon bukan Aspirasi Kerajaan tidak dibenarkan bertanding secara berkumpulan kerana ini akan membentuk kekuatan kepada mereka. Calon bukan Aspirasi hanya dibenarkan bertanding atas kapasiti individu. Begitulah “double standard” HEP kepada mahasiswa bukan Aspirasi Kerajaan.
Dalam masa yang sama, HEP secara terbuka membentuk dan menaja calon-calon Aspirasi secara kumpulan dengan mengadakan kursus calon dan jentera. Semua maklum, HEP adalah Suruhanjaya Piliharaya (SPR) di Kampus. Bayangkan HEP yang membuat peraturan pilihanraya tetapi merekalah juga yang menodai dan mencabuli peraturan tersebut!
Strategi terbaru KPT untuk meraih kemenangan calon-calon Aspirasi Kerajaan ini akan mengundang beberapa persoalan yang menambah kekalutan dan keresahan dikalangan media dan mahasiswa di kampus. Beberapa persoalan wajar dijawab KPT dan HEP demi menjamin maruah dan harga diri mahasiswa yang diinjak-injak ini dapat diperkasa dan dibela.
1. Mengapakah PRK tidak diadakan serentak pada tahun ini, sebaliknya dilanjutkan ke bulan Januari 2009? Umumnya, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) jelas menyatakan “Hendaklah jawatan Majlis Perwakilan Pelajar dipegang selama satu tahun sahaja.”
Dalam kaedah tafsiran undang-undang perkataan “HENDAKLAH” membawa maksud mandatori. Tidak dapat tidak, tempoh perjawatan MPP dengan ini WAJIB berakhir apabila tempoh penggal mereka cukup satu tahun. Perkataan “HENDAKLAH” tidak boleh ditafsirkan secara bebas mengikut selera KPT. Tafsiran sebegini hanya boleh dimungkinkan sekiranya ada proviso yang membenarkan kelonggaran peruntukan tersebut dan pemanjangan tempoh MPP dengan memberi kuasa kepada Naib Canselor atau pihak lain untuk membuat demikian. Namun di atas faktor kelompok sempit, KPT tetap ingin melanjutkan jawatan MPP melebihi setahun iaitu Januari 2009.
2. Mengapakah KPT takut dan bimbang sangat dengan liputan media dan perhatian masyarakat terhadap PRK dan kebangkitan mahasiswa? Sepatutnya KPT berbangga kerana mahasiswa menjadi perhatian dan tumpuan media dan rakyat.
Bukankah mahasiswa juga mempunyai hak untuk masyarakat mendengar suara mereka? Bukankah KPT juga mahu mahasiswa mampu menjadi jurubicara ummah? Atau sebenarnya KPT hanya ingin melahirkan ‘mahasiswa itik gembol-gembol’ tukang angguk-angguk dan tukang geleng-geleng?
3. Apakah visi dan misi KPT sebenarnya dalam melahirkan mahasiswa yang berketrampilan dan mencapai tahap global? Apakah KPT merasakan polisi terbaru KPT terutama melibatkan PRK ini bakal melahirkan mahasiswa yang mempunyai kemahiran insaniah seperti yang digembar gemburkan selama ini?
Mahasiswa hari ini merasakan KPT tidak lebih hanya mempunyai visi dan misi untuk “menternak” dan memperbodohkan mahasiswa dengan idea-idea ‘canggih’ yang layak dilakukan oleh yahudi ke atas pemuda-pemuda.
4. Mengapakah KPT begitu merestui dan menggalakkan mahasiswa UiTM mengadakan demonstrasi bila Menteri Besar Selangor mencadangkan supaya sedikit kouta diberi kepada mahasiswa bukan Bumiputera? Ironinya, dalam masa yang sama KPT melarang mahasiswa lain mengadakan demonstrasi dalam isu-isu yang lebih releven.
Hakikatnya, KPT begitu arif berapakah jumlah sebenar mahasiswa bukan Bumiputera di USM dan di UPM. Ianya bukan rahsia lagi. Tetapi KPT buat-buat pekak. Peningkatan mahasiswa bukan Bumiputera di IPTA berkenaan tidak pula dikawal. Janganlah ‘double stardard.’ Kokoknya berdegar-degar tetapi ekor bergelumang najis!
5. Mengapa KPT begitu menekan mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sedangkan mereka juga mempunyai hak dan pendirian untuk tidak menyokong calon Aspirasi Kerajaan? Tentu kita masih ingat bagaimana pejabat MPP UIAM dikunci berbulan lamanya semata-mata kerana mereka tidak condong kepada Aspirasi Kerajaan? Berlaku adillah kepada semua mahasiswa. Janganlah peralatkan mahasiswa untuk kepentingan politik sempit KPT sahaja.
Senario yang didedahkan ini wajar dihapuskan. Bayangkan apa akan terjadi kepada bakal pimpinan negara sekiranya KPT masih meneruskan polisi dan “strategi” yang bakal merosakkan pemikiran dan sikap anak bangsa mereka sendiri. Cabaran masa depan negara dan era gobalisasi yang semakin getir memerlukan anjakan pradigama oleh KPT sendiri. Janganlah membawa nilai ‘politik kampungan’ di menara gading.
Jika beginilah cara pentadbiran KPT, jangan terkejut mahasiswa sendiri akan bangkit bersama-sama Pakatan Rakyat untuk menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional. Mungkin ini sahaja jalan keluar bagi mahasiswa untuk keluar dari kezaliman KPT.
Mahasiswa sudah sekian lama disakiti. Apakah yang paling sakit bagi seorang yang bergelar ‘mahasiswa tulen’ di menara gading? Tidak lain dan tidak bukan ialah DIPERBODOHKAN!
Seruan saya kepada semua media, parti pembangkang, masyarakat dan mahasiswa: Gembar gemburlah PRK yang bakal diadakan. Juga dedahkanlah segala pencabulan dan kebejatan KPT dan HEP kepada mahasiswa kerana mahasiswa hari ini sebenarnya sangat memerlukan pembelaan dari cengkaman ‘seorang ayah yang tidak bertanggungjawab!’

No comments: